Nostalgia Mesin Getah

      1 Comment on Nostalgia Mesin Getah

Petang tadi, ketika duk layan FB, BB terlalu la dekat post yang menjentik memori BB. Nak tau tau apa memori tu? Haa.ini yang BB nak berkongsi. Mana tau memori ni sezaman dengan anda2 semua. So, memori ni BB didikasikan kepada Arwah mak dan Tok BB iaitu Allahyarhamah Sepora Bt Osman dan Allahyathamah Embon Bt Saad. Alfatihah buat mereka. Semoga mereka ditempatkan di antara orang2 yang beriman. Amin.

Kerana dengan Allahyarham mak dan tok BB lah wujudnya nostalgia ini. BB coretkan sebagai nostalgia mesin getah. Bila ternampak je gambar mesin getah tu, tiba-tiba terkenang kembali saat-saat ketika bersama Allahyarham mak di Kampung Kubang Perun, Mata Ayer, Perlis hampir 40 tahun yang lampau. Uishh..dah tua juga la BB ni ye? Haha.. Seingat BB, mak menoreh getah dan bersawah untuk membantu bapa menyara kami empat org adik-beradik. Pada tahun 70an dan 80an. Bapa bekerja sebagai pegawal keselamatan di Kilang gula yang terkenal di Perlis pada masa tu. 

Inilah uniform mak semasa nak pergi menoreh
Susu getah yang terkumpul dalam cawan

Awal2 pagi lagi mak dah pergi menoreh. Masih gelap lagi Mak dah keluar. Mak akan guna pelita kabait. Pelita tu BB ada simpan sampai sekarang sebagai kenangan. Mujurlah mak menoreh di kebun sendiri. kalau tak, hasilnya perlu dikongsi. Selesai menoreh, biasanya mak akan tunggu sekejap di kebun sebelum mak mengutip susu getah dlm cawan dan dimasukan kedalam baldi. Mak akan mengandar baldi susu getah itu balik ke rumah. Rasanya jauh juga la mak kena merentasi kebung getah sebelum tiba di bangsal mesin getah di rumah. Boleh bayangkan tak? Berapa jauhnya orang dulu excersise berjalan dari menoreh, lepas tu kutip susu dan jalan balik. Bila fikir2 balik kuat org dulu2. Sekarang panjat tangga pun dah mengeah. Manakala kebun Tok BB pula hanya sebelah rumah dia sahaja.

Mak mempunyai sebuah pondok memproses getah keping di sebelah rumah dengan tempat menyidai getah keping untuk dikeringkan. Ada dua jenis mesin iaitu mesin licin dan mesin bunga. BB suka main dengan mesin2 ni. macam2 BB mesin. Batang kayu la, pelepah pisang la. Kadang2 selipar pun BB mesinkan. Haha..biasa la budak2 lagi masa tu. Kreatif.

Pondok Memproses getah
Susu getah dimasukkan kedalam takungan

Pada generasi sekarang, kalau nak tahu proses membuat getah keping rumit tau. Sebab tu agaknya orang sekarang tidak lagi berminat untuk membuat getah keping. Lagi satu bau getah ni memang melekat kat badan dan pakaian. Getah yang melekat kat pakian memang tak ada cara nak selamatkan lah. memang akan jadi keras. Bau getah yang melekat ni pulak, setakat pewangi gred C memang tak jalan.Huhu..

OK. masa getah ni belum beku atau mengeras, BB kadang2 kidnap sikit untuk buat getah pemikat burung. Caranya campurkan susu getah dan getah dari pokok Temak. Getah pokok Temak ni keras dan berketul2. Kalau nak ambil yang lembut memang payah sebab pokoknya tinggi. yang keras getahnya akan jatuh. So kutip dan campukan dengan susu getah dan panaskan atas api. Kacau slow2 bagi dua2 getah ni sebati. Tak perlu campur garam secukup rasa ye. Ini bukan untuk makan petang. Haha.. Campuran kedua2 bahan ni pun kena betul, kalau terlebih susu getah nanti getah pemikat akan mudah cair bila terkena panas matahari. Kalau terlebih getah Temak pula getah pemikat ni akan keras. Bila burung hinggap pun tak melekat. Bila siap, kita akan lilit getah pemikat dekat ranting pokok dan letak la kat mana2 yang banyak burung. Hasil tangkapan burung ni nanti BB cerita dalam nostalgia bab memikat burung plak. Itu hasil keras tangan yang BB suka buat dengan susu getah ni. 

Nak tahu langkah-langkah membuat getah keping? Jom BB cetakan sikit berdasarkan pengalaman BB membantu mak atau Tok semasa BB kecil2. Biasanya dalam tengahari, susu getah dah boleh di pungut, kalau petang sangat susu dah beku, dah jadi getah sekrap yang ketul2 tu. Harga getah dalam bentuk skrap murah. Kalau dalam bentuk keping, harganya mahal.

Haa..satu lagi getah skrap yang beku ni, kalu kita kepal bulat2 boleh jadi bola raunders tau. Boleh main tuju member kuat2. tak sakit. Tapi kalau kita selalu main dengan getah skrap ni pula, kepala kita yang kena tuju dengan mak. Yelaa..orang penat menoreh, kita sedap2 ambil main baling2. Itu semua ada harga. Duit semua tu. tapi bagi kita mana la dapat menilai semua tu. Bila dah tua2 ni baru kita dapat menilai jerit perih mak kita mencari duit.

 

Getah dalam bentuk skrap
Susu getah yang dibiar lama akan mengeras menjadi skrap

Ok. dah sedia? Jom kita buat getah keping.

1. Mula2 sekali getah cair dikutip selepas ditoreh. Kena tunggu 3-4 jam juga. kalau cepat kutip susu tak banyak. Sebab susu getah keluar bukan macam buka paip air.

2. Susu getah dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam takungan (satu bongkah zink 4 segiempat tepat). Ia dicampur cuka getah (sejenis asid) lalu dikacau untuk membekukan getah tersebut. Lagi satu peranan cuka getah ni untuk mengelak getah keping tadi mudah koyak. Tak jadi agar2. Pegang sikit dah putus.

3. Selepas getah beku, ia dikeluarkan dan dilenyek dengan tapak tangan. Haa..kat sini BB suka. Bukan sekadar lenyek dengan tangan tapi dengan kaki juga. Bayangkan, getah yang setebal lebih kurang 3-4 inci tadi kita masukkan kaki. memang nampak bentuk kaki kita. boleh cop buat bentuk2 lagi. Tapi jap lagi siap la telinga. memang kena pulas la. sebab bila kita lenyek tidak sekata akan merosakkan struktur kepingan getah. ketebalan tak sama. Kualiti kepingan getah itu pun diambil kira juga dalam penetapan harga. 

4. Seterusnya kepingan getah itu dimesin. Ada 2 jenis mesin, iaitu mesin licin dan bunga. Mula-mula getah itu dimasukkan ke dalam mesin licin beberapa kali untuk menipiskannya. Selepas itu ia dilalukan ke dalam mesin bunga (jalur) Kalau kita pusingkan kepingan getah tu, dari jalur akan jadi empat segi. macam waffle. Lagi cantik. Tapi tak menaikkan harga punn.. Kenapa kena masukkan ke dalam mesin bunga? Sebab x nak bagi kepingan getah itu melekat la bila dijemur dan disusun bertingkat2! Selalunya BB akan membantu memusing mesin itu sambil ibu memasukkan kepingan getah ke dalam mesin. Kat sini memang memboringkan. Bukan sekali pusing. Tapi banyak kali. Supaya kepingannya jadi nipis yang boleh.  Bayangkan, BB kecil lagi. Tempat mesin tu tinggi. Bila pusing tu tangan mesti lepas kepala. Lenguh tangan beb..

5. Hasilnya getah keping tersebut berbentuk 4 segi lebar dan berjalur seperti bunga tayar kereta.

6. Akhirnya ia dikeringkan atau disalai dalam 3 ke 4 hari. Setelah kering, getah boleh dijual kepada peraih atau terus kekedai. Kalau jual kat peraih harga agak rendah.

Getah keping dijemur tempat panas
Getah keping yang dah kering
Getah keping ready untuk dijual

Dulu BB suka menolong mak memproses getah keping ni. Dari mengacau getah cair yang dicampur dengan cuka getah hingga beku.  Tapi masa campur cuka memang mak tak bagi. Bahaya. Selepas itu BB meratakan getah sebelum dimesin. Hmmm…. Bila ingat2 balik seronok sangat pengalaman tu…tapi semua tu dah tinggal kenangan.. mak sudah meninggal. Mesin2 getah tu  pun dah tak tahu kemana.

Bila fikir-fikir balik, memang susah orang dulu-dulu bekerja… awal pagi bangun menoreh… Lepas tu kutip susu getah dan diproses pula menjadi getah keping…

Kini dengan teknologi yang baru, kerja menjadi mudah dan lebih cepat… penoreh getah menoreh dengan menggunakan mesin penoreh.. susu getah cair atau getah skrap dikutip dan terus dijual tanpa perlu melalui kerja-kerja yang merumitkan.

Budak2 zaman sekarang x dapat lagi pengalaman hidup susah mcm ni lagi. Kesusahan mereka dalam bentuk yang berbeza. Kesusahan menoreh yang BB cetakan ni untuk generasi yang lahir pada awal 70an. Mungkin sebelumnya lg teruk kepayahan. Betul tak?. BB ceta ni masa zaman BB lalui je.

Itu lah sedikit sebanyak nostalgia mesin getah menggamit memori BB. Semoga kenangan ini menjadi salah satu kenangan indah untuk di ingat sepanjang hanyat untuk generasi yang seangakatan dengan BB. Salam mengamit memori untuk semua.

#Nostalgia #Kenanganindah #mesingetah #staysafe #dudukrumah

 

1 thought on “Nostalgia Mesin Getah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *